Bola Sepak

Salah sasaran, isteri pemain Paraguay maut ditembak

Oleh Agensi

London: Isteri pemain bola sepak Paraguay yang juga model terkenal maut ditembak ketika menyaksikan konsert semalam.

Cristina Vita Aranda yang mempunyai tiga anak bersama pemain Club Olimpia, Ivan Torres, mati sejurus dikejarkan ke hospital dengan kesan tembakan di kepala.

Media tempatan melaporkan pertahanan kiri Torres yang juga bekas anggota skuad B-20 negaranya turut berada di tempat kejadian dan dia membantu membawa isterinya ke hospital.

Cristina baru-baru ini mengumumkan mereka merancang berpisah selepas 10 tahun berkahwin.

Dipercayai model malang itu terperangkap dalam insiden tembak menembak di dewan utama konsert yang berlangsung di ibu kota Paraguay, Asuncion dan insiden itu kini dalam siasatan polis dan pendakwa.

Seorang lelaki Marcos Ignacio Rojas Mora turut maut dan laporan yang belum disahkan menyebut sasaran sebenar penyerang ialah pengedar dadah dikenali Ederson Salinas Benitez.

Empat lagi mangsa berusia antara 23 dan 40 tahun turut ditembak namun hanya mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di hospital.

Ivan yang memulakan kariernya bersama kelab Cerro Porteno sebelum berpindah ke kelab musuh ketat, Club Olimpia pada Disember 2014 terselamat dalam insiden itu.

Disiarkan pada: February 1, 2022 @ 8:23pm
d