Bola Sepak

Minamino bantu Jepun benam Arab Saudi

Oleh AFP

Saitama, Jepun: Jepun kembali mencerahkan peluang ke Piala Dunia 2022 selepas menewaskan pendahulu kumpulan Arab Saudi 2-0 dalam aksi kelayakan hari ini.

Penyerang Liverpool Takumi Minamino membuka tirai jaringan pada pertengahan babak buat juara Asia empat kali itu sebelum Junya Ito menambah gol kedua sejurus selepas rehat di Saitama, utara Tokyo.

Arab Saudi yang berkelebihan empat mata ke atas Jepun di puncak Kumpulan B menyedari kemenangan akan mengesahkan tempat mereka di Qatar.

Tetapi kemenangan Jepun membuka kembali persaingan sengit merebut dua slot automatik dengan baki dua perlawanan manakala Australia turut dalam persaingan.

Socceroos akan menentang Oman awal pagi esok dan mereka menerima kunjungan Jepun di Sydney pada 24 Mac.

Jepun pula menentang Vietnam dalam aksi terakhir menentang Vietnam di tempat sendiri.

"Jika kami teruskan kemenangan, tiada siapa dapat menyekat kami," kata pengurus Jepun, Hajime Moriyasu.

"Kami perlu membuat persiapan terbaik menentang Australia untuk menang dan mara ke Piala Dunia."

Jepun memulakan kempen kelayakan dengan dua kekalahan dalam tiga aksi pertama tetapi kini menang lima perlawanan berturut-turut.

Disiarkan pada: February 1, 2022 @ 9:38pm
d