Bola Sepak

Chile hidupkan peluang ke Piala Dunia

Oleh Reuters

La Paz: Uruguay dan Chile melakar kemenangan penting untuk terus menghidupkan peluang mereka pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Di Bolivia, dua gol menerusi Alexis Sanchez membantu Chile menewaskan Bolivia 3-2 manakala di Montevideo, Uruguay membelasah Venezuela 4-1.

Empat pasukan teratas Amerika Selatan layak secara automatik beraksi di Qatar manakala tempat kelima akan beraksi pada perlawanan playoff bertemu pasukan dari Asia.

Brazil dan Argentina sudah layak manakala tempat ketiga, Ecuador mengumpul 24 mata sekali gus mereka hampir pasti menyertai kedua-dua pasukan itu.

Kemenangan kedua berturut-turut Uruguay di bawah kendalian jurulatih baharu, Diego Alonso menyaksikan mereka kini meraih 22 mata manakala Chile 19 mata, kurang satu mata berbanding Peru di tempat kelima.

Sanchez meletakkan Chile di depan selepas 14 minit permainan tetapi Marc Enoumba menyamakan kedudukan lapan minit sebelum berakhir babak pertama.

Marcelino Nunez meraih gol kedua Chile minit ke-77 dan Sanchez menambah gol ketiga ketika permainan berbaki empat minit.

Penjaring terbanyak Bolivia, Marcelo Martins merapatkan jurang dua minit kemudian namun ia masih tidak mampu menghalang kemenangan Chile.

Sementara itu Uruguay meledak tiga gol pada separuh masa pertama ketika bertemu Venezuela.

Rodrigo Betancur, Giorgian De Arrascaeta dan Edinson Cavani meletakkan tuan rumah selesa dengan tiga gol selepas berakhir babak pertama.

Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti minit ke-53 untuk kedudukan semasa 4-0.

Josef Martinez meraih gol saguhati untuk Venezuela minit ke-65.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 9:50am
d