Bola Sepak

Azam Javabilaarivin bersama skuad Maloney

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Panggilan menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ternyata memberikan motivasi dan membangkitkan lagi semangat pemain muda Negeri Sembilan FC (NSFC), N Javabilaarivin.

Penyerang berusia 22 tahun itu teruja selepas dia dan rakan sepasukan, A Selvan dipanggil menyertai kem latihan skuad berkenaan sebagai persiapan menghadapi kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja antara 14 hingga 26 Februari ini.

Javabilaarivin berkata, penyertaan dalam skuad kebangsaan adalah satu platform yang terbaik buatnya dalam usaha meningkatkan lagi tahap prestasi dan skil permainannya.

"Selepas dua tahun saya diberi peluang menyertai skuad kebangsaan iaitu pasukan Bawah 19 Tahun sebelum ini, kini peluang itu kembali sekali lagi bersama pasukan Bawah 23 Tahun.

"Ini adalah kesempatan terbaik untuk saya menimba ilmu bola sepak dan mempelajari sesuatu yang berharga bagi meningkatkan skil permainan.

"Saya perlu menghargai peluang yang saya dapat ini dan menunjukkan prestasi yang cemerlang bersama skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur tapi dibesarkan di Seremban itu berkata, dia akan menggunakan segala bimbingan dan tunjuk ajar daripada ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan sebelum ini, untuk memberikan sumbangan terbaik kepada skuad kebangsaan.

"Saya akan berusaha menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang latihan dalam skuad kebangsaan dan seterusnya mendapat tempat dalam skuad berkenaan untuk menghadapi kejohanan AFF 2022 di Phnom Penh nanti," katanya.

Javabilaarivin, adalah pemain muda yang mula diserapkan dalam skuad senior Negeri Sembilan mulai musim lalu dan terus kekal bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari dan akan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Februari, sebelum berdepan dengan Laos pada 18 Februari di venue sama.

Mereka kemudian akan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Februari.

Disiarkan pada: February 2, 2022 @ 6:25pm
d