Bola Sepak

Shivan Pillay harap namanya tidak tercicir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hampir dua tahun memasang impian mahu kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan, pemain pertahanan Petaling Jaya (PJ) City FC, A Shivan Pillay mahu pastikan namanya kali ini tidak akan tercicir lagi untuk mengharungi Piala AFF Bawah-23 di Phnom Penh, Kemboja yang akan bermula 14 Februari ini.

Menyedari persaingan membabitkan rakan sepasukan lain cukup sengit, pemain berusia 22 tahun berkata, perkara penting ketika ini adalah fokus kepada latihan dan memberikan terbaik dalam usaha memikat barisan kejurulatihan supaya disenarai kelak.

Malah, katanya, barisan pemain yang dipanggil kali ini boleh dikatakan cukup hebat dengan rata-rata mempunyai pengalaman kerap beraksi di pentas Liga Malaysia sekali gus mampu membantu skuad kebangsaan mencipta keputusan positif.

"Selepas kali terakhir dapat panggilan dua tahun lalu. Jadi saya sangat gembira sebab dipanggil semula untuk menyertai kem latihan pusat.

"Saya tahu ia bukan perkara mudah kerana persaingan cukup sengit dengan semua pemain terbaik berada dalam pasukan selain rata-rata sering beraksi bersama kelab masing-masing," katanya.

Untuk rekod, Shivan adalah pemain dalam skuad muda negara yang muncul juara Piala AFF Bawah 19 tahun 2018 kendalian jurulatih Bojan Hodak.

Pemain terbabit berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 bagi menoktahkan buat pasukan negara mengatasi Myanmar 3-2.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan persefahaman dan keserasian antara pemain setakat ini, Shivan berkata, situasi berkenaan cukup baik kerana rata-rata pemain sebelum ini pernah beraksi bersama dalam satu pasukan selain turut sering 'bertembung' ketika mengharungi saingan Liga Malaysia.

"Saya nampak persefahaman dalam kalangan semua pemain. Kami makan sekali, malah ketika latihan, pemain berkomunikasi antara satu sama lain.

"Sebab saya rasa semua pemain yang dipanggil ini sudah matang memandangkan kesemua ini adalah pemain profesional yang bermain di Liga Super dan Perdana," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 9:41pm
d