Bola Sepak

Cole perkuatkan barisan kejurulatihan Everton

Oleh Reuters

London: Bekas pertahanan Chelsea dan Arsenal, Ashley Cole disenaraikan sebagai salah seorang pembantu pengurus baru Everton, Frank Lampard.

Cole akan menjadi jurulatih skuad utama, bersama pembantu pengurus, Joe Edwards dan Duncan Ferguson.

"Saya sangat teruja apabila Frank meminta saya menyertainya di Everton. Ia adalah peluang terbaik dengan pasukan yang hebat dan saya datang ke sini untuk bekerja keras serta membantu Everton meraih kejayaan.

"Peluang dapat bergandingan bersama Frank satu lagi pencapaian buat saya. Beliau adalah seorang pengurus yang dan pemimpin yang hebat. Dengan staf yang ada di sini sekarang, kami mempunyai segala-galanya untuk kami raih bersama," katanya.

Cole beraksi bersama Lampard di Chelsea, dengan mereka berjaya meraih satu gelaran liga, empat Piala FA dan satu trofi Liga Juara-Juara.

"Semua orang tahu beliau seorang pemain yang hebat dan apa pencapaian diraihnya.

"Beliau kini seorang jurulatih yang disegani apabila kerjaya diiktiraf ketika bersama Bawah-21 England. Beliau akan membawa banyak keghairahan, pengalaman ketika bermain dan seorang jurulatih muda yang sangat baik akan menambah kekuatan kepada kakitangan kejurulatihan kami," kata Lampard.

Everton akan memulakan aksi di bawah kendalian Lampard pada perlawanan Sabtu ini menentang Brentford dalam pusingan keempat Piala FA, sebelum bertandang ke Newcastle pada hari Selasa dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Disiarkan pada: February 3, 2022 @ 10:31pm
d