Bola Sepak

Lampard akui berdepan tugas getir bersama Everton

Oleh AFP

London: Frank Lampard mengakui beliau berdepan tugas sukar untuk memulihkan nasib Everton selepas mengambil alih kedudukan Rafael Benitez yang dipecat.

Lampard dilantik sebagai pengendali Everton Isnin lalu, akan membimbing pasukan yang kini berada di kedudukan ke-16 dalam carta Liga Perdana, empat mata di atas zon penyingkiran.

Bercakap pada sidang media pertama selepas mengambil alih tugas di Goodison Park, bekas pengendali Chelsea menyedari tugas berat yang akan dipikulnya untuk memulihkan skuad itu.

Namun Lampard meluahkan keyakinan bahawa dia mampu untuk membawa Everton keluar daripada kedudukan kelompok tiga tercorot seterusnya meletakkan pasukan itu di landasan lebih kukuh untuk masa depan.

"Saya faham tugas dalam jangka pendek ini adalah untuk memperbaiki kedudukan kali dalam liga.

"Untuk jangka masa panjang, sasaran sangat jelas bahawa kelab ini mempunyai cita-cita besar, sejarah besar dan peminat yang besar serta keinginan untuk menjadi lebih baik.

"Saya tahu banyak kerja yang perlu dilakukan tapi saya amat berbangga diberi kepercayaan mengemudi barisan ini.

Kehadiran Lampard memberi impak serta-merta apabila berjaya mempengaruhi pembelian Dele Alli dari Tottenham dan Donny van de Beek, sebagai pinjaman dari Manchester United.

Beliau berhasrat untuk memberikan yang terbaik kepada Alli selepas pemain tengah itu melihat kariernya bersama Tottenham semakin malap dan kelibatnya bersama skuad England juga semakin berkurangan.

"Dia berdepan masa yang sukar. Saya tidak kisah perkara itu dan begitu juga dia tapi ada banyak sebab untuk itu.

"Tugas saya adalah memulakan senarai baru dan menempatkan dia dalam persekitaran yang sesuai dengannya dan mendorongnya untuk bersama-sama pemain di sini."

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 9:03am
d