Bola Sepak

Liverpool tetap idam Carvalho

Oleh AFP

London: Jurgen Klopp berkata strategi Liverpool selalunya mahu membina skuad masa kini dan masa depan sambil mendedahkan kelab masih berminat dengan penyerang remaja Fulham, Fabio Carvalho selepas menandatangani penyerang Porto, Luis Diaz.

Liverpool mendapatkan Diaz, 25, dengan yuran permulaan £37.5 juta (RM212 juta) pada Ahad lalu tetapi gagal menandatangani Carvalho pada hari terakhir jendela perpindahan.

Klopp berkata adalah gila jika kelab tidak mengekalkan minat ke atas pemain remaja berprofil tinggi itu yang tamat kontrak dengan pendahulu Liga Kejuaraan pada penghujung musim.

"Strategi kami ialah menandatangani pemain pada saat yang tepat," kata pengendali Liverpool itu hari ini. "Kami kenal pasti isu seperti posisi atau kontrak.

"Kami sudah lama bersama dengan pasukan fantastik ini, salah satu aspek yang menjadikan kelab ini berjaya ialah kami tidak pernah lupa memandang ke hadapan dan ini yang kami lakukan.

"Kami Liverpool, jadi kami tidak boleh hanya bekerja dengan bakat dan berkata: 'Lihat dua atau tiga tahun lagi dan mereka akan bersedia. Perlu selalu ada adunan."

Ketika Carvalho dianggap pemain masa depan, prestasinya di Fulham dengan meledak tujuh gol dan empat bantuan jaringan dalam 18 aksi liga menarik minat beberapa kelab.

"Kami jelas masih berminat," kata Klopp. "Gila jika tidak pedulikannya tetapi pada masa ini, ia bukan dalam tangan kami. Ia sudah terlambat sebelum jendela perpindahan tutup tetapi kami tunggu apa akan berlaku."

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 10:58pm
d