Bola Sepak

Salah, Mane jadi musuh

Oleh AFP

Yaounde: Senegal sekali lagi berpeluang untuk menjulang trofi Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama tetapi mereka perlu melepasi halangan juara tujuh kali, Mesir pada aksi final di Younde awal pagi Isnin.

Ia juga bakal menyaksikan pertembungan dua rakan sepasukan di Liverpool, Sadio Mane dan Mohamed Salah yang akan menjadi musuh dalam usaha memenangi piala berprestij itu.

Mesir mempunyai pengalaman memenangi Piala Negara-Negara Afrika sebanyak tujuh kali dan yang terakhir adalah pada 2010.

Salah melakukan penampilan pertama di pentas antarabangsa setahun selepas itu dan kini terdesak untuk memenanginya selepas tewas kepada Cameroon pada final 2017 dan mempamer aksi hambar ketika menjadi tuan rumah 2019.

Senegal pula memegang status pasukan utama benua Afrika tetapi berdepan tekanan untuk menjulang piala itu buat kali pertama selepas tewas kepada Algeria pada edisi terakhir dua tahun setengah lalu.

"Kami sedar bukan mudah untuk melangkah ke pentas final dua kali berturut-turut tetapi paling penting bagi kami sekarang adalah untuk memenanginya," kata Mane selepas menjaringkan satu gol ketika menewaskan Burkina Faso 3-1 pada aksi separuh akhir.

Senegal berharap tuah memihak kepada mereka pada final ketiga selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Cameroon pada 2002.

Aliou Cisse adalah kapten pasukan ketika itu dan kemudian jurulatih pada 2019. Tiada siapa yang lebih gembira selain dirinya jika Senegal dapat memenangi piala berprestij itu.

Mesir pula beraksi tanpa jurulatih, Carlos Queiroz selepas beliau diminta meninggalkan padang ketika bertemu Cameroon mankala pemain pertahanan, Omar Kamal juga memenuhi hukuman penggantungan perlawanan.

Mereka juga berharap Salah mempamer aksi cemerlang berbanding ketika aksi separuh akhir yang menyaksikannya tidak berfungsi sepenuhnya.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 11:49am
d