Bola Sepak

Pan Gon pilih sendiri pembantunya

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Teka-teki siapa sebenarnya akan berada di sisi sebagai pembantu ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon hanya akan diketahui pada minggu depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata, walaupun terdapat pelbagai desas-desus dan spekulasi berkaitan individu tertentu bakal mengisi jawatan terbabit namun pada masa ini kebanyakan daripada khabar angin itu adalah tidak benar.

Beliau berkata, Pan Gon akan tiba ke tanah air pada minggu depan seterusnya menjalani kuarantin sebelum beliau memutuskan untuk memilih pembantunya di kalangan jurulatih tempatan.

"Pada peringkat awal, kita menerima sekurangnya enam permohonan untuk mengisi jawatan terbabit dan akan meminta Pan Gon memilih individu berkenaan kelak.

"Sekarang ini memang banyak spekulasi mengaitkan dengan individu tertentu untuk mengisi jawatan itu namun tunggu saja apabila ketua jurulatih baharu Harimau Malaya tiba dan kita akan membuat pengumuman," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, terdapat beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan sebagai pembantu kepada Pan Gon untuk menerajui skuad Harimau Malaya.

Antara nama yang dikaitkan adalah ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, dan penolong jurulatih Selangor, Nidzam Jamil dikatakan menjadi pilihan utama untuk membantu Pan Gon membentuk pasukan Harimau Malaya yang bakal berwajah baru.

Namun, baru-baru ini muncul pula nama bekas pengendali kelab Liga Super, Melaka United, iaitu Zainal Abidin Hassan turut dikatakan mendapat perhatian badan induk itu.

Mengikut rekod, Pan Gon akan membawa empat pembantu iaitu iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Pan Gon dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Berdasarkan prestasi jurulatih berkenaan, beliau berjaya membimbing skuad kebangsaan Hong Kong mencipta sejarah buat pertama kalinya meraih pingat emas pada Sukan Asia Timur edisi 2009 dan seterusnya menjuarai saingan kelayakan Kejohanan Bolasepak Asia Timur 2010 untuk layak selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 2:17pm
d