Bola Sepak

Liga Melaka kembali meriah, 60 pasukan sahkan penyertaan

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Selepas lebih dua tahun sunyi tiada kejohanan Liga Melaka susulan pandemik Covid-19, saingan liga anjuran Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) bakal kembali musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Liga Melaka, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, sehingga tarikh akhir penyerahan borang penyertaan Liga Melaka 2022 sebanyak 60 kelab mengesahkan penyertaan.

Katanya, ia rekod penyertaan tertinggi kelab-kelab gabungan yang menampilkan sambutan yang sangat menakjubkan sekali gus membuktikan ramainya pemain berbakat.

Menurutnya, saingan Liga berkenaan mengikut format Liga Tiga Divisyen iaitu Liga Divisyen Satu Satu dan Dua masing-masing sebanyak 12 pasukan dan 36 pasukan bagi Divisyen Tiga.

Beliau berkata, semua perlawanan berlangsung Wisma MUSA, Paya Rumput dan perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Hang Tuah.

"Apa yang diharapkan Liga Melaka 2022 ini menjadi acara kemuncak agenda persatuan selaras dengan hasrat kerajaan negeri Melaka memartabatkan sukan bola sepak di negara ini.

"Malah pada tahun 2017, Liga Melaka dinobatkan sebagai antara Liga Tempatan terbaik di Malaysia oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Apa yang menarik Liga Melaka antara yang berprestij di negara ini kerana melahirkan ramai legenda bola sepak negeri dan negara.

Antaranya Datuk Ong Kim Swee, Mohd Nor Derus, Shamsurin Abd Rahman, Mazlan Wahid, Sapian Wahid, Norizam Ali Hassan, Zainal Rabin, Azmi Hasan, Rahim Abdullah, Asri Ninggal, Rasid Mahmud, Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit dan Shukor Adan.

Sehubungan itu, kejohanan kali ini antara medan membentuk pemain berkaliber yang bakal menyerlah di pentas Liga Malaysia serta antarabangsa.

Disiarkan pada: February 5, 2022 @ 4:31pm
d