Bola Sepak

Penamat ketiga ubat duka Cameroon

Oleh AFP

Yaounde: Tuan rumah, Cameroon menamatkan kempen Piala Negara-Negara Afrika di tempat ketiga selepas bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk melakar keputusan seri 3-3 dengan Burkina Faso pada masa sebenar sebelum meraih kemenangan 5-3 menerusi penentuan penalti, hari ini.

Ambroise Oyongo menyempurnakan sepakan penalti paling penting di Yaounde selepas Cameroon gagal menerusi penentuan penalti ketika tewas kepada Mesir pada aksi separuh akhir.

Gol menerusi Steeve Yago dan Djibril Ouattara pada setiap babak serta jaringan sendiri Andre Onana menyaksikan Burkina Faso selesa mendahului 3-0 ketika berbaki 20 minit permainan.

Stephane Bahoken merapatkan jurang sebelum pemain gantian, Vincent Aboubakar menjaringkan gol minit ke- 85 dan 87 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Jurulatih Cameroon, Toni Conceicao melakukan sembilan pertukaran berbanding barisan yang tewas kepada Mesir menerusi penentuan penalti selepas mata tambahan.

Pengendali dari Portugal itu hanya mengekalkan penjaga gol, Andre Onana dan pemain tengah, Samuel Oum Gouet yang digantikan pada separuh masa pertama dengan penjaring terbanyak kejohanan, Aboubakar.

Jurulatih Burkina Faso, Kamou Malo pula melakukan lima pertukaran berbanding pasukan yang tewas 1-3 kepada Senegal pada aksi separuh akhir.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu tiga kali sebelum bermulanya kejohanan kali ini dengan Cameroon melakar kemenangan sebanyak dua kali termasuk ketika perlawanan pembukaan Piala Negara-Negara Afrika kali ini.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 9:47am
d