Bola Sepak

Greenwood punca Man United bergolak

Oleh Agensi

London: Kemelut di Manchester United semakin meruncing dengan perpecahan di bilik persalinan selepas Mason Greenwood ditahan pihak berkuasa yang menyebabkan barisan pemain bintang kelab itu bertelagah sama ada tepat atau tidak keputusan menggantungnya.

Barisan pemain termasuk Edinson Cavani, Cristiano Ronaldo dan Victor Lindelof mula tidak mengikuti pemain berusia 20 tahun itu di Instagram selepas dia ditahan kerana disyaki merogol seorang wanita.

Keputusan kelab menggantung pemain itu memberi tekanan kepada rakan sepasukan lain.

Sumber memberitahu The Sun beberapa pemain berasakan adalah satu keputusan salah mengetepikan Greenwood kerana dia masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Seorang pemain sangat marah mengenainya. Dia berasakan bahawa mengetepikan Mason menunjukkan mereka tidak bersatu.

"Jika Mason disabitkan dengan kesalahan dilakukannya, maka pasti jelas semua pemain akan berasa terkejut.

"Tapi pihak polis belum memutuskan sama ada mereka sudah mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwanya.

"Beberapa orang yang paling rapat dengannya berasakan dia harus disiasat dengan seadil-adilnya. Tapi bila sesetengah pemain mula membuangnya, mereka berasakan terpaksa juga melakukannya.

"Ia menunjukkan betapa skuad ini tidak bersatu dan seringkali menunjukkan mereka bertindak secara individu," katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 11:07am
d