Bola Sepak

Pemain harap Guardiola kekal di Etihad

Oleh Agensi

London: Pemain Manchester City dilaporkan mengharapkan ketua jurulatih Pep Guardiola akan menandatangani kontrak baharu bersama penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu dalam masa terdekat.

Kontrak semasa Guardiola di Stadium Etihad dijangka tamat pada Jun 2023 dan terdapat dakwaan bahawa dia akan meninggalkan kelab itu tahun depan tambahan pula jika dia berjaya memenangi mahkota Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, menurut laporan The Mirror pengendali dari Sepanyol itu tidak mungkin agak mudah meninggalkan kelab berkenaan selepas berjaya membentuk penguasaan pasukan itu sejak tiba pada 2016.

"Pep tidak boleh pergi begitu sahaja. Dia membentuk satu pasukan yang mampu terus mendominasi untuk beberapa tahun akan datang. Dia mempunyai segalanya di City, termasuk berkerja untuk pengurusan yang memberikannya kebebasan dan bekerja seperti dimahukan," menurut sumber rapat kelab itu.

Guardiola sudahpun membina pasukan hebat di Stadium Etihad dan tidak mungkin meninggalkan tugas pengurusan seperti dilakukan bersama Barcelona dan Bayern Munich selepas berkhidmat empat tahun dan tiga tahun berikutnya.

Man City ketika ini mendahului di puncak liga dengan sembilan mata berbanding pasukan di tempat kedua, Liverpool manakala mereka mengesahkan tempat ke pusingan kelima Piala FA selepas menang 4-1 ke atas Fulham, semalam.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 7:28pm
d