Bola Sepak

Peluang Salah balas dendam

Oleh AFP

Yaounde: Sensasi Mesir, Mohamed Salah berharap dapat membalas dendam kekalahan di final Piala Negara-Negara Afrika di tangan Senegal apabila kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada dua aksi playoff kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Mesir berdepan kekecewaan dalam usaha mereka untuk melebarkan kemenangan kali kelapan kejohanan benua itu apabila tewas menerusi penentuan penalti 2-4 di Younde selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan berakhir masa tambahan.

Mohamed Abdelmonem dan Mohanad Lasheen gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Salah tidak berpeluang melakukannya sebelum Sadio Mane meledak gol kemenangan buat Senegal meraih mahkota sulung Piala Negara-Negara Afika.

"Kami akan bangkit selepas ini. Hari ini kami tidak mampu menang tetapi kami akan lebih baik selepas ini," kata penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal, yang dinamakan selaku Pemain Terbaik Perlawanan apabila menyelamatkan penalti Mane pada minit ke-7.

Pemain berusia 33 tahun itu yang meletakkan nama samaran Gabaski di belakang jersinya, juga menyelamatkan penalti Bouna Sarr tetapi usahanya tidak membawa kemenangan.

Salah dilihat menangis walaupun Mane belum menyempurnakan sepakan ketika dia dua kali kecewa pada final Piala Negara-Negara Afrika dalam tiga edisi selepas Mesir juga tewas di tangan Cameroon pada 2017.

"Salah ialah pemain berkelas dunia dan perwatakannya sama seperti orang lain.

"Dia berazam untuk menang. Dia sudah bermain dan menang kejohanan besar di Eropah tetapi sangat mahukan trofi buat negaranya.

"Bersamanya kami mahu layak ke Piala Dunia. Dia sama seperti mana-mana kapten. Dia kecewa kerana gagal mencapai sasaran dimahukannya," kata penolong jurulatih Mesir, Diaa al-Sayed.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 9:22am
d