Bola Sepak

Mat Yo idam bantu Melaka julang piala

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menyasarkan meraih sekurang-kurangnya satu piala bersama skuad Melaka United (MU) musim ini.

Katanya, setiap tahun misinya tetap sama iaitu meraih piala walaupun dengan mana-mana pasukan sekalipun dan jika semuanya menjadi, tidak mustahil pasukan terbabit mampu mencipta kejutan.

"Saya tetap laparkan kejuaraan dan diharap satu piala mampu diraih bersama pasukan musim ini.Walaupun usia sudah 36 tahun, namun saya percaya masih relevan untuk bola sepak.

"Walaupun dianggap sudah berusia, namun saya optimis pengalaman yang ada selama ini dapat membantu skuad Hang Tuah meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan," katanya.

Baginya, keserasian bersama rakan baharu dalam skuad terbabit bukan masalah buatnya tambahan dia pernah bersama kebanyakan pemain yang ada dalam pasukan berkenaan.

Menurutnya, dia pernah beraksi bersama Fadhli Shaas, Shazwan Andik, malah Ifedayo Olusegun sekali gus tidak memberi banyak halangan buatnya.

Sehubungan itu, kepercayaan di antara satu sama lain dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan untuk meletakkan kepercayaan kepada barisan skuad berkenaan mampu membuahkan kejayaan.

Dalam masa sama, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan pasukan Sang Kancil yang menerimanya sebagai keluarga baharu skuad terbabit musim ini.

Malah dia juga gembira kerana memperolehi restu isteri dan anak untuknya beraksi bersama skuad Hang Tuah selepas menyertai Sarawak United musim lalu.

Mat Yo antara pemain senior tempatan yang masih beraksi di Liga Malaysia dengan gerakan dan percubaannya dilihat masih bahaya sehingga sering menjadi `duri dalam daging' buat mana-mana pasukan lawan.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 12:54pm
d