Bola Sepak

Kipre mahu gegar Liga M

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tonggak import Terengganu FC, Tchetche Kipre mengakui sedia menggegar saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan kehadiran rakan segandingannya ketika bersama pasukan Kedah, Kpah Sherman pada musim lalu akan menambah sengat skuad Penyu.

Jelas Kipre, keserasian yang terbina bersama Sherman sejak dua musim lalu mampu diteruskan dan optimis mereka berdua mampu melakukan lebih baik berbanding di Kedah.

"Saya memang teruja apabila ketahui Sherman akan bersama di Terengganu, dia sememangnya seorang penyerang yang berkualiti tinggi dan sentiasa bijak mencari ruang dalam kawasan lawan.

"Harap persefahaman yang terjalin akan memberikan kesan positif buat Terengganu kerana kami sudah masak dengan corak permainan kami antara satu sama lain.

"Selain itu, tidak dilupakan Jordan Mintah (seorang lagi penyerang import Terengganu FC) yang saya rasakan sebagai satu persaingan sihat untuk pasukan kerana dia juga seorang penyerang yang bagus jika dilihat persembahan musim lalu, " katanya.

Menurutnya lagi, kepulangan dirinya ke Terengganu FC diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang, di mana dia sama sekali tidak menyangka masih berpeluang menyarung jersi hitam putih selepas meninggalkan pasukan pada 2019.

Katanya, dia berasakan Terengganu seperti sudah sebahagian daripada dirinya dan sebaik mendapat panggilan dari pengendali, Nafuzi Zain, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berkenaan.

"Dalam bola sepak, memang sukar buat pemain kembali beraksi dengan pasukan sama dan sebelum saya bersama Terengganu semula, ramai peminat mengatakan amat sukar untuk bekas pemain-pemain kembali ke sini selepas keluar.

"Jadi saya rasa sangat bertuah kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk pulang ke Terengganu, tempat saya mulakan karier di Liga Malaysia selain banyak kenangan indah tercipta di sini, harap musim 2022 akan memberikan kenangan yang lebih bermakna.

"Terengganu umpama negeri kedua dan semasa berhijrah ke Kedah pada musim 2020, saya sebenarnya berpisah dengan cara baik dan tiada masalah untuk saya kembali ke sini," katanya.

Kipre adalah penggempur utama Terengganu yang berjaya membawa skuad pada musim 2018 mara ke pentas final Piala Malaysia sebelum tewas kepada Perak.

Bersama Terengganu dari 2017-2019, dia berjaya menjaringkan 46 gol secara keseluruhan dengan musim 2018 menjadi tahun paling cemerlang apabila meledak 24 jaringan.

Pada musim 2017, dia menjaringkan lapan gol manakala 2019 sebanyak 14 gol dihasilkan buat Terengganu manakala di Kedah selama dua musim, Kipre meledak 18 jaringan.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 5:30pm
d