Bola Sepak

Pemain import kelentong status naturalisasi?

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Adakah benar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kena kelentong lagi oleh pemain import bagi mendapatkan status naturalisasi?

Itu persoalan yang timbul selepas seorang pemain kacukan negara, Curran Ferns tampil mendedahkan wujudnya penipuan identiti bagi mendapatkan status kad pengenalan atau pasport negara ini agar dapat beraksi sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menerusi perkongsian bekas pemain Felda United dan Melaka United di laman sosial miliknya itu, dia mempertikaikan bagaimana FAM boleh memberi taraf naturalisasi kepada pemain import yang menggunakan wajah seiras pemain tempatan serta nama yang seakan-akan dengan rakyat negara ini.

"Amat luar biasa @famalaysia mahu memberikan taraf naturalisasi kepada mereka yang berbohong dirinya orang Malaysia untuk mendapatkan pasport demi kepentingan peribadi.

"Untuk mewakili Malaysia dan menjadi rakyat ia harus lebih daripada bola sepak. Bagaimana kita boleh membenarkan seseorang cuba untuk memanipulasi ramai orang dan menipu semua pihak hanya kerana namanya ada iras nama Asia, semata-mata untuk mengisi poket dirinya sendiri," katanya di Instagram Story miliknya.

Walaupun tidak menamakan pemain yang dimaksudkan, kebetulan atau tidak FAM serta kelab Sri Pahang dilaporkan sedang mengesahkan kerakyatan kepada dua pemain skuad Tok Gajah iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero baru-baru ini.

Untuk rekod, Tuck misalnya pernah gagal mengemukakan pertalian darah dengan negara ini meskipun mengakui neneknya berasal dari Malaysia.

Manakala Aguero pula sudah menetap dan beraksi di Liga M selama lima musim berturut-turut sekali gus menyaksikan dirinya boleh dinaturalisasikan seperti mana yang dilalui Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula sebelum ini.

Jelas Ferns lagi, dia mahu pemain terbabit membuktikan status pertalian darahnya dengan Malaysia dan memohon maaf kepada rakyat negara ini.

"Ini adalah satu penghinaan dan satu tamparan. Buktikan dokumen bagaimana pertalian darah keluarga anda adalah dari Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media selama bertahun lamanya.

"Sekarang buktikan atau minta maaf kepada setiap pihak kerana menipu, dan kemudian biarkan mereka menentukan sama ada anda layak untuk menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, pada 2020 pemain dari Congo, Marcel Kalonda hampir memperdaya FAM tentang status pertalian darahnya dengan negara ini, namun selepas semakan dokumen lanjutan mendapati tonggak pertahanan tinggi lampai itu mengemukakan maklumat palsu.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 7:39pm
d