Bola Sepak

Norizam sedia dahulukan duit beli VAR buat FAM

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sering menggunakan alasan tidak mempunyai modal yang cukup untuk membawa masuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini, tampaknya masalah itu sudah berakhir.

Ia susulan pengakuan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang bersedia mendahulukan duitnya bagi membantu FAM untuk membeli sistem berkenaan yang dianggarkan jutaan ringgit.

Jelas Norizam, kesediaannya untuk membantu badan induk itu adalah kerana mahu melihat mutu pengadilan bola sepak tempatan berada pada tahap terbaik sekali gus dapat mengelak daripada sebarang keputusan kontroversi oleh pengadil.

"Kalau pasukan bola sepak, pengadil itu di tengah padang mewakili dua pasukan yang sedang bertanding, dia kena profesional. Maksudnya sebab itu saya mencadangkan VAR itu ia bagus.

"Kalau apa-apa keputusan nanti kita boleh rujuk kepada VAR...kalau negara Eropah dah gunakan sistem untuk pengadilan, kenapa kita tak pakai.

"Apa benda yang susah sangat, adakah ia sangat mahal. Jadi saya sendiri kalau mahal, saya sendiri boleh beli sistem itu kepada FAM dan saya boleh buat sikit 'bisnes' dan sedikit untung. Pada saya, kita kena guna sistem itu supaya mutu pengadilan di Malaysia dapat dipertingkatkan dan dinaikkan.

"Kalau mutu pengadilan bagus, saya rasa tak ada masalah tahap bola sepak akan meningkat dan penswastaan semuanya akan lebih berjaya. Syaratnya, mutu pengadilan kena bagus," katanya dalam satu temuramah bersama portal di laman sosial.

Mutu pengadilan Liga M sering menjadi perdebatan hangat dikalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.

FAM pernah berhasrat untuk menggunakan VAR dalam saingan liga tempatan namun kos untuk membeli sistem itu cukup tinggi yang dianggarkan sekitar RM25 juta.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 10:19pm
d