Bola Sepak

Perlis United dapat RM50,000

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Pasukan Perlis United menerima suntikan semangat selepas Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad menyerahkan sumbangan sebanyak RM50,000 sebagai peruntukan perbelanjaan kelab berkenaan.

Dalam satu hantarannya menerusi akaun Facebook, Amin berkata, sumbangan berkenaan sebagai usaha sokongan kepada pasukan bola sepak Perlis yang bertanding dalam Liga M3 bermula 12 Februari hadapan.

"Sebagai usaha menyokong pasukan bola sepak Perlis yang akan bertanding dalam Liga M3 Kebangsaan, hari ini saya menyerahkan sumbangan kepada pihak Kelab Bola Sepak Perlis United.

"Semoga dengan sumbangan ini akan melonjakkan lagi prestasi pasukan. Bersama menyokong pasukan rasmi negeri kita," katanya.

Katanya, beliau menggesa penyokong setia Perlis hadir ke Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar setiap kali perlawanan berlangsung sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perlis United FC di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

Musim ini, Perlis United FC yang dilatih pengendalinya, Azizul Abidin turut diperkuatkan beberapa pemain berpengalaman yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana seperti Azmizi Azmi, Hairol Fazreen Abu Hassan, Sadam Hashim, Azizi Mat Rose dan Mohd Ikmal Ibrahim.

Malah, kelab itu turut menampilkan hampir keseluruhan pemain yang berasal dari Perlis. Bagi saingan Liga M3 yang akan memulakan aksi sulung pada 12 Februari hadapan, Perlis United FC diletakkan dalam Kumpulan B bersama kelab Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC dan Real Chukai FC.

Perlis United FC akan memulakan saingan Liga M3 dengan bertemu Real Chukai FC di Stadium Mak Chili, Kemaman pada 12 Julai ini.

Disiarkan pada: February 8, 2022 @ 10:22pm
d