Bola Sepak

United dihukum tersingkir daripada kedudukan empat teratas

Oleh AFP

Burnley: Ralf Rangnick menyalahkan barisan pemain Manchester United kerana kurang agresif menyebabkan mereka gagal untuk menewaskan Burnley pasukan yang berada di kedudukan tiga tercorot liga apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di Turf Moor sekali gus menyaksikan Red Devils tersingkir daripada kedudukan empat teratas liga.

Dengan Cristiano Ronaldo bermula dari bangku simpanan, United menguasai 45 minit pertama selepas Paul Pogba meletakkan mereka di depan.

Burnley berjaya meledakkan gol penyamaan menerusi Jay Rodriguez dua minit selepas rehat dan memberikan mereka semangat untuk terus bertahan.

Kemenangan 1-0- West Ham ke atas Watford menyaksikan Hammers berjaya memintas United bagi mendapatkan slot terakhir layak ke Liga Juara-Juara musim depan manakala Arsenal dan Tottenham kekal di kedudukan dan masih mempunyai baki perlawanan.

"Sekali lagi ia adalah malam yang mengecewakan kami kerana kami sepatutnya memenangi perlawanan itu dengan mudah," kata Rangnick.

"15-20 pertama di separuh masa kedua kami tidak cukup agresif. Satu mata daripada persembahan seperti ini tidak mencukupi."

Musim United terus bermasalah apabila mereka disingkirkan daripada Piala FA oleh pasukan Liga Kejuaraan Middlesbrough menerusi sepakan penalti Jumaat lalu.

Pengajaran daripada kekalahan itu tidak pelajari kerana pemain Rangnick mempunyai lebih daripada cukup peluang untuk memenangi perlawanan itu pada separuh masa pertama sebelum dihukum kerana pertahanan yang lemah.

Buat pertama kalinya pengendali dari Jerman itu merehatkan Ronaldo daripada kesebelasan utamanya untuk perlawanan liga selepas pemain berusia 37 tahun itu beraksi 120 minit Jumaat lalu.

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 8:10am
d