Bola Sepak

Aksi 'panas' di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC II (TFC II) menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam ini dicemari insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden pada minit ke-45 itu menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin.

Aksi panas itu bermula selepas sepakan penalti diperolehi pasukan Harimau Kumbang yang diambil kapten, Endrik Dos Santos namun gagal disempurnakan pemain kelahiran Brazil itu.

Susulan itu berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad yang tangkas mempertahan gawangnya daripada dibolosi.

Akibatnya berlaku pergaduhan dan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang meleraikan insiden itu daripada berlarutan.

Rentetan insiden itu, seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan.

Selepas pergaduhan tersebut, perlawanan yang terhenti kira-kira 45 minit ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil atas faktor tertentu.

Berikutan itu pasukan 'adik' TFC II dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu edisi kedua selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan.

Disiarkan pada: February 9, 2022 @ 10:56pm
d