Bola Sepak

KUFC terima tajaan RM150,000

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) terus menerima khabar gembira menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) bulan depan apabila menerima tajaan bernilai RM150,000 daripada KDDI Malaysia Sdn Bhd, hari ini.

Tajaan itu menjadikan KDDI Malaysia Sdn Bhd sebagai syarikat jepun yang kedua menaja KUFC selepas syarikat minuman pribiotik, Yakult Sdn Bhd.

KDDI turut bersetuju melaksanakan program pembangunan bola sepak bersama KUFC bagi musim ini menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Hotel Perdana, hari ini.

Majlis tandatangan disempurnakan KUFC yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Anas Karimi Ahmad Thani dan Pengarah Urusan KDDI Malaysia Sdn Bhd, Masaki Matsuura.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, penajaan itu memberi keyakinan kepada pengurusan dan pemain skuad kijang hijau untuk mengharungi musim ini.

Katanya, jumlah penajaan pasukan kini mencecah RM2 juta termasuk tajaan tunai.

"Kita kini lebih memilih penaja kerana peruntukkan kepada pasukan naik sekali ganda berikutan KUFC kini mengurus tiga pasukan musim ini.

"Ini termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia, jadi kita cari penaja yang betul-betul dapat bagi komitmen sebab tahun lepas penaja tak dapat bagi komitmen sebab Covid-19," katanya.

Beliau berkata, bagi perkembangan pasukan pula, KUFC hari ini turut menerima dua pemain import daripada Nigeria dan Ghana selepas mereka selesai tempoh tamat kuarantin wajib.

Katanya, kedua pemain itu akan memperkuat pasukan di bahagian tengah dan menyerang.

"Mereka akan menjalani ujian kesihatan petang ini dan esok sebelum memulakan sesi latihan bersama pemain lain," katanya.

Sementara itu, di pihak KDDI, Masaki Matsuura berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama kali pertama bersama pasukan bola sepak Malaysia yang diperkenalkan oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

Katanya, kerjasama Yakult bersama KUFC memberi keyakinan buat syarikatnya yang berteraskan telekomunikasi menjalin kerjasama dengan pasukan itu selain kehadiran lagenda Jepun, Masashi Motoyama.

Disiarkan pada: February 10, 2022 @ 5:29pm
d