Bola Sepak

Ahmad Zikri mahu julang trofi di Kemboja

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Sasaran saya kalau boleh nak kita orang juara".

Itu semangat tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Ahmad Zikri Mohd Khalili yang meletakkan harapan untuk membantu pasukan menjuarai Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja, bermula Selasa ini.

Dia bersama tiga lagi pemain lain yang dipanggil pada saat akhir oleh pengendali pasukan, Brad Maloney percaya skuad kali ini memiliki peluang untuk melakukan sesuatu di saingan itu nanti.

Jelas pemain Selangor itu, bagi memastikan misi berkenaan tercapai, pasukan perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Macam sasaran saya, setiap kejohanan yang saya sertai sendiri dan rakan-rakan lain, setiap perlawanan yang kita orang main dah tentu nak menang.

"Sasaran saya kalau boleh nak kita orang juara dan semua kita kena fokus dari satu aksi kepada satu aksi," katanya yang juga tunjang utama pasukan itu ketika Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober lalu.

Pada aksi kelayakan itu, Ahmad Zikri mempamerkan ketenangan cukup cemerlang apabila berjaya memastikan benteng negara tidak dibolosi dalam tiga aksi Kumpulan J itu, sekali gus muncul juara untuk layak secara merit ke pusingan akhir di Uzbekistan, Jun depan.

Sebelum ini, Ahmad Zikri dan tiga lagi pemain dipanggil oleh Maloney di saat akhir selepas empat pemain terpaksa diketepikan dengan salah seorang disahkan positif Covid-19 manakala tiga lagi pulang kerana komitmen bersama kelab.

Tiga pemain baharu itu adalah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan tiga pemain pertahanan, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri.

Disiarkan pada: February 10, 2022 @ 7:11pm
d