Bola Sepak

Beraksi baik, sepenuh hati demi negara - Hamidin

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu memberi tekanan kepada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada kejohanan Piala AFF B-23 2022 apabila hanya mahu barisan pemain beraksi dengan baik dan sepenuh hati demi negara.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, gabungan pemain yang berada dalam skuad negara ketika kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Mongolia, Oktober lalu selain turut menyerap muka baharu dalam pasukan sudah tentu menambah rencah untuk mencipta keputusan positif kelak.

Beliau berkata, barisan anak buah Brad Maloney diingatkan supaya beraksi dengan sepenuh hati dan bersemangat untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Skuad ke Phnom Penh ini merupakan gabungan pemain yang berada dalam skuad negara ketika Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Mongolia, Oktober lalu dan menampilkan juga ramai muka baharu yang dipanggil kali ini.

"Jadi saya mahu mereka ini memberikan persembahan yang terbaik di sana nanti supaya kita dapat keputusan yang baik apabila bertemu Myanmar pada aksi pembukaan pada 15 Februari, diikuti aksi kedua menentang Laos pada 18 Februari.

"Saya percaya jika mereka bermain dengan ikhlas dan sepenuh hati serta penuh bersemangat, kita mampu untuk meraih keputusan baik pada ketiga-tiga perlawanan tersebut, seterusnya berjaya layak ke separuh akhir," katanya.

Indonesia sepatutnya menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 21 Februari ini di Stadium Nasional Morodok Techo namun mereka menarik diri saat akhir sebelum aksi separuh akhir dan final dijadualkan berlangsung pada 24 dan 26 Februari.

Selepas kejohanan Piala AFF B-23 dan Sukan Sea 2020, skuad muda negara mengalihkan tumpuan untuk dua tugasan penting pada saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan dan temasya Sukan Asia di China.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 6:58pm
d