Bola Sepak

Nama Mane diabadikan nama stadium

Oleh Reuters

London: Penyerang Liverpool, Sadio Mane akan mempunyai stadium yang dinamakan sempena namanya di wilayah asalnya Sedhiou selepas kejayaannya membantu Senegal merangkul kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain berusia 29 tahun itu antara bintang di kejohanan dan menjaringkan penalti kemenangan dalam penentuan sepakan penalti menentang Mesir untuk membantu Senegal meraih gelaran sulung mereka.

Puluhan ribu penyokong membanjiri jalan sekitar ibu kota, Dakar bagi menantikan kehadiran pasukan itu sambil meraikan kejayaan berkenaan manakala Presiden Senegal, Macky Sall, menghadiahkan pemain wang dan hartanah selain pingat penghormatan tertinggi negara

"Mane membanggakan Senegal, wilayah Sedhiou dan seluruh (negeri) Casamance," kata datuk bandar Abdoulaye Diop.

"Saya ingin memberikan nama Sadio Mane kepada Stadium Sedhiou sebagai penghormatan rakyat wilayah ini kepada lelaki yang menjadikan Bambali dan juga ibu kota wilayahnya Sedhiou dikenali ramai.

"Sadio Mane memang berhak menerima hadiah ini.

Berada di barat daya Senegal, Sedhiou ialah wilayah yang didiami kurang daripada 25,000 orang dan menjadi popular apabila Mane cemerlang bersama Liverpool dan pasukan kebangsaan.

Stadium dengan nama Mane itu dijangka akan siap pada 2023.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 10:44am
d