Bola Sepak

Piala SMJ medan persediaan hadapi Liga M

Oleh BERNAMA

Kota Kinabalu: Jurulatih dan pemain bagi empat pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berentap pada Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) 2022, akan memanfaatkan sepenuhnya perlawanan pramusim itu bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan liga musim ini.

Kejohanan empat penjuru berlangsung di Stadium Likas bermula esok hingga 18 Februari itu disertai Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sarawak United FC.

Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata semua pasukan dan pemain termasuk Sabah FC diharap dapat menggunakan kejohanan itu sebagai platform untuk meningkatkan kualiti persembahan dan kemampuan masing-masing sebelum saingan liga bermula.

"Tujuan kita mengadakan kejohanan seperti ini untuk mempersiapkan pasukan masing-masing dan saya harap semua pasukan terbabit akan mendapatkan sesuatu untuk membina (pasukan) sebelum Liga Super bermula.

"Saya percaya, (semua pasukan dan pemain) bukan sahaja untuk mendapatkan pendedahan, tetapi juga cuba untuk menjuarai Piala SMJ ini buat pertama kali," katanya dalam sidang media di Stadium Likas di sini hari ini.

Bagi Sabah FC kata Kim Swee, pasukan itu telah berlatih selama lebih kurang enam minggu untuk persiapan pramusim dan pasukan itu mempunyai barisan pemain yang cukup untuk beraksi pada perlawanan itu.

Jurulatih Sarawak United FC E Elavarasan pula berkata, kejohanan Piala SMJ adalah ruang baginya melihat sekali gus menilai prestasi pasukannya untuk menambah baik kualiti persembahan para pemain.

Pengendali KDA FC, Aidil Shahrin Sahak berkata jemputan menyertai Piala SMJ sudah tentu menjadi ruang pasukan itu mempelajari seterusnya memperbaiki corak permainan agar dapat memberi persembahan terbaik dalam persaingan liga musim ini.

Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya yang bersetuju dengan pandangan jurulatih lain mengenai manfaat yang bakal diperoleh daripada kejohanan itu berharap para pemainnya dapat memberi komitmen terbaik dalam kejohanan itu.

Piala SMJ menggunakan format round-robin, dengan setiap pasukan akan bermain tiga perlawanan dan juara akan ditentukan menerusi mata, beza jaringan, jumlah jaringan dan fair play.

Perlawanan pertama esok akan menemukan Sabah FC dengan Kelantan FC, manakala Kedah Darul Aman FC akan menentang Sarawak United FC.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 11:06pm
d