Bola Sepak

Skuad Maloney sasar separuh akhir

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara mensasarkan slot ke separuh akhir sebelum memikirkan langkah seterusnya pada kempen Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja kali ini.

Pengendali negara, Brad Maloney berkata, biarpun saingan Kumpulan B ketika ini tampak lebih terbuka selepas ketiadaan Indonesia yang menarik diri susulan beberapa pemainnya 'diserang' Covid-19, cabaran dari dua pencabar lain iaitu Myanmar dan Laos juga sukar.

Malah katanya, anak buahnya tidak memiliki kelebihan sekalipun hanya akan turun beraksi dalam dua perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Prince itu.

"Kita bermain dalam dua perlawanan awal dan tidak seperti pasukan lain yang ada bermain sebanyak tiga perlawanan. Namun saya tidak lihat ini (main dua perlawanan) memberi kelebihan kepada kita dalam peringkat kumpulan.

"Kalau kita bermain kurang perlawanan berbanding pasukan lain, mungkin ini akan memberi kesukaran kepada kita daripada segi kecergasan dan sebagainya.

"Tetapi sasaran kami tetap jelas iaitu perlu mengungguli kumpulan untuk layak ke peringkat seterusnya. Tiada apa yang berubah walaupun hanya sekadar beraksi dalam dua perlawanan," katanya pada sidang media semalam.

Ujarnya lagi, beliau juga enggan dilabel sebagai pasukan pilihan selepas ketiadaan pasukan Indonesia itu kerana skuad negara yang di bawa kali ini bukanlah pasukan utama yang menjuarai pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia Oktober lalu.

Sebaliknya, Maloney membawa ramai muka baharu bagi menguji dan memberi peluang dengan fokus utama adalah pusingan akhir di Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun nanti.

"Kami mahu menguji banyak pemain baharu jadi saya tidak tahu kenapa anda katakan kami (Malaysia) adalah pasukan pilihan dan akan ke separuh akhir.

"Ada pemain yang dibawa kali ini akan beraksi buat kali pertama di peringkat antarabangsa dan kejohanan ini akan memberikan peluang terbaik untuk mereka mendapat pendedahan sebegitu," katanya.

Skuad negara dijadual membuka tirai berdepan Myanmar pada Selasa sebelum aksi kedua menentang Laos, Jumaat ini.

Disiarkan pada: February 13, 2022 @ 9:12pm
d