Bola Sepak

Rahadiazli bukan angan mat jenin

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim tekad untuk kembali mengetuk pintu skuad kebangsaan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialaminya.

Pemain berketinggian 1.92 meter kelahiran Setiu itu juga meletak harapan yang tinggi untuk kembali bergelar penjaga gol nombor satu pasukannya dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas hanya beraksi lima perlawanan musim lalu.

Bagaimanapun, anak seorang pemandu bot pelancong di Pulau Redang berusia 21 tahun itu akui saingan untuk merebut posisi penjaga gol utama skuad Penyu bukan sesuatu yang mudah kerana perlu bersaing dengan dua lagi rakan seposisinya, Suhaimi Husin dan Mohd Sharmiza Yusoff, begitu juga dengan skuad kebangsaan.

"Mana-mana pemain sudah tentu idam beraksi di pentas tertinggi begitu juga dengan saya, musim lalu saya hanya sempat beraksi lima perlawanan sahaja sebelum berehat panjang kerana cedera lutut.

"Perasaan kecewa tidak dapat digambarkan bukan sahaja tidak dapat membantu pasukan TFC dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia, malah juga terlepas peluang untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

"Selepas sembuh sepenuhnya daripada kecederaan, saya berazam untuk kembali memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan selain mengintai kembali peluang untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

"Saya meletakkan harapan agar impian itu tercapai musim ini walaupun sedar saingan dalam pasukan TFC dan negara pasti sengit."Jadi saya perlu tambah minit permainan terutama ketika aksi pemanas badan selepas lama berehat selain perlu kembali menemui sentuhan terbaik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musim lalu, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penarik, Setiu itu terpaksa berehat hampir semusim selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika sesi latihan pasukannya.

Kali terakhir permata baharu TFC yang pernah membantu skuad Terengganu muncul juara Piala Belia 2019 beraksi ketika bertemu dengan Sabah dalam saingan Liga Super musim lalu.

"Jika diturunkan bertemu Sri Pahang FC dalam aksi pertama Liga Super 5 Mac depan, saya akan cuba memperagakan aksi terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik kami walaupun beraksi di tempat lawan," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2022 @ 9:51pm
d