Bola Sepak

Peluang terbaik pulih imej FAM

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya tidak mempunyai pilihan apabila perlu memastikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang beraksi di kejohanan Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja memperoleh keputusan positif dalam usaha memulihkan imej badan induk bola sepak negara itu.

Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, prestasi buruk skuad senior pada Piala AFF 2020 di Singapura boleh dikatakan sudah mencalarkan imej FAM selain turut menyebabkan penyokong bola sepak tanah air bengang.

Walaupun melihat kejohanan Piala AFF B-23 kurang popular, hakikatnya Pekan berkata, FAM perlu memanfaat sepenuhnya dengan memastikan wakil negara sekurang-kurangnya menempah slot ke perlawanan akhir.

Beliau berkata, kejayaan skuad B-23 bakal mengubati kedukaan penyokong bola sepak tanah air seterusnya memberi gambaran bahawa sukan nombor satu negara itu masih lagi ada harapan.

"Kita tidak boleh melihat kerana bukan pasukan senior yang menyertai kejohanan berkenaan maknanya impak kurang kerana sekarang ini peminat mahu melihat pasukan negara meraih kejayaan.

"FAM perlu manfaatkan peluang memastikan skuad B-23 meraih kejayaan positif sekali gus mampu meredakan kemarahan penyokong bola sepak tanah air. Seperti sedia maklum, pasukan B-23 ini adalah skuad masa depan Harimau Malaya kerana kebanyakan pemainnya akan diserap ke skuad senior," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Malaysia sepatutnya membuka tirai kempen berdepan Myanmar di Stadium Prince petang tadi namun dibatalkan selepas skuad lawan lumpuh dijangkiti Covid-19 dan akan menentang Laos tiga hari kemudian di venue sama. Indonesia sepatutnya menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 21 Februari ini di Stadium Nasional Morodok Techo, namun mereka turut menarik diri saat akhir.

Kegagalan skuad senior pada Piala AFF 2020 menyebabkan imej FAM tercalar hingga mendorong peminat sukan tanah air mendesak kepimpinan badan induk bola sepak itu meletakkan jawatan.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 10:50pm
d