Bola Sepak

Peluang Man United menang Liga Juara-Juara kurang 1 peratus

Oleh Agensi

London: Manchester United mempunyai peluang kurang satu peratus untuk memenangi Liga Juara-Juara, menurut data terbaru yang dikeluarkan.

Manchester City menjadi pasukan pilihan untuk meraih kejayaan di Eropah apabila skuad bimbingan Pep Guardiola mempunyai 25 peratus peluang untuk menjulang piala berprestij itu.

Terbaru City melakar kemenangan meyakinkan 5-0 ke atas Sporting Lisbon pada aksi 16 terakhir manakala United akan berkunjung ke Atletico Madrid.

Kumpulan data FiveThirtyEight mencipta formula untuk menentukan pasukan manakah yang akan menjadi juara pada Mei depan.

City mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan musim lalu yang menyaksikan mereka tewas kepada Chelsea pada aksi final.

Bayern Munich pula mempunyai 20 peratus peluang memenangi piala itu manakala Liverpool di tempat ketiga dengan 15 peratus.

Ajax pula 13 peratus manakala juara bertahan, Chelsea mempunyai peluang 10 peratus untuk menjulang semula piala itu.

United menduduki tempat ke-11 pasukan pilihan untuk memenangi piala itu dengan peluang kurang 1 peratus.

Satu-satunya perkara positif untuk United adalah mereka diramalkan mempunyai 40 peratus peluang untuk mengatasi Atletico pada pusingan 16 terakhir.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 9:10pm
d