Bola Sepak

Mora teruja Johor tuan rumah ACL

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora jelas teruja selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Johor menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan I dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bakal menyingkap tirai dari 15 April hingga 1 Mei depan.

Mora jelas gembira dengan keputusan itu tatkala JDT akan menjadi tuan rumah dan sekali gus beri kelebihan buat skuad Harimau Selatan untuk berdepan kelab dari Jepun, China dan kemungkinan satu kelab dari Korea Selatan atau Thailand.

"Sudah tentu berita menggembirakan kerana kita akan menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah bolasepak tanah air pada saingan kelab yang berprestij di Asia.

"Malah pemain juga tampak gembira kerana akan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dan kehadiran penyokong JDT juga akan beri motivasi untuk pemain saya memberi persembahan terbaik pada saingan musim ini.

"Tidak dinafikan ia beri kelebihan buat JDT namun kita perlu mengambil tanggungjawab ini dengan begitu serius kerana keinginan untuk memburu slot ke pusingan seterusnya pada saingan musim ini cukup menebal ditambah dengan persiapan yang rapi ketika pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini," katanya.

Pada saingan ACL itu, JDT diundi bersama pasukan ternama termasuk juara Liga J1, Kawasaki Frontale dari Jepun, juara Liga Super China lapan kali yang juga juara dua kali ACL, Guangzhou FC serta pemenang perlawanan playoff antara Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan Port FC dari Thailand.

Mora juga menegaskan setiap perlawanan yang bakal diharungi nanti walaupun sukar namun bagi menjaga maruah kelab berkenaan selain memastikan rekod cemerlang beraksi di Stadium Sultan Ibrahim harus dijaga, maka mereka akan berusaha mengelak daripada tewas kepada pasukan lawan.

Tambahnya, peluang beraksi di laman sendiri juga beri impak positif buat pemain yang pasti mahu membuktikan keupayaan sebenar tatkala sering kecewa apabila bertandang ke gelanggang lawan selepas aksi di Thailand pada musim 2021 tidak memberangsangkan.

"Pada musim lalu di Thailand jadual perlawanan begitu padat dan menjejaskan corak permainan kami dan pada musim ini jadual tampak lebih fleksibel dan pasti beri kelegaan buat kami untuk memberi saingan kepada kelab ternama dari Jepun, China, Korea Selatan atau Thailand.

"Mengenai harapan dalam saingan ACL musim ini pasti mahu beri persembahan lebih baik daripada musim lalu terutama mencapai objektif dalam saingan itu selain menambah baik corak permainan lebih berkualiti malah membabitkan juga strategi permainan.

"Malah kami akan menganalisa corak permainan lawan bagi membuat persiapan rapi kerana kita beraksi di laman sendiri dan sudah tentu mahu beri yang terbaik tatkala kami memiliki barisan pemain terbaik pada musim ini dan ingin ke pusingan seterusnya," kata Mora.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 9:26pm
d