Bola Sepak

Stadium baharu KDA FC hampiri kualiti stadium JDT

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Cadangan membina stadium baharu pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang terletak di Sungai Petani akan dibina secara usahasama antara kerajaan negeri Kedah dan KDA FC bersama pihak swasta.

Kawasan stadium yang bakal dibina itu adalah tapak yang sudah diambil alih beberapa tahun dahulu oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan kerajaan negeri merangkumi pusat latihan yang lengkap untuk skuad Sang Kenari serta ruang terbuka berdekatan stadium bagi orang ramai.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, proses itu akan bermula dalam masa terdekat dan ia satu proses usahasama rakan pintar yang antara kerajaan negeri dan pihak swasta yang dilaksanakan tanpa menggunakan dana kerajaan.

"Apabila KDA FC memberi cadangan untuk membina stadium dengan kelengkapan pusat latihan sendiri, saya kata ia boleh dilaksanakan secara usahasama antara KDA FC dan MPSPK iaitu tanah miliki MPSPK dan dana untuk pembinaan pula daripada KDA FC dan rakan niaga.

"Tanah tapak pembinaan stadium KDA FC di Sungai Petani itu terletak tidak jauh dari kawasan litar lumba dan sudah dibuat pengambilan beberapa tahun dahulu oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kerajaan negeri untuk membuat stadium, tetapi dana untuk membina stadium tidak ada dan selepas itu terbiar begitu lama.

"Jadi pihak KDA FC membuat keputusan untuk adakan usahasama pembinaan stadium ini dan saya akan bawa perkara ini untuk ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kita akan bincang mengenai perkara itu kerana dana ini bukanlah menggunakan duit kerajaan negeri sebaliknya melibatkan KDA FC dan rakan niaganya." katanya.

Sanusi juga berkata pihaknya sudah meneliti keseluruhan cadangan stadium baharu berkenaan selepas urusan KDA FC bersama rakan niaganya berlangsung sebelum ini.

"KDA FC ada cara untuk mencari dana atau 'fund raising' bagi pembinaan stadium baharu ini dan mereka (KDA FC) sudah melawat stadium pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT). Kualitinya hampir dekat walaupun tak sampai tahap mereka.

"Saya juga sudah melihat lukisan rekabentuk stadium baharu itu, dan memang nampak cantik dengan ada bahagian yang khusus untuk KDA FC serta pusat latihan serta ruang terbuka untuk orang ramai beriadah kerana ini tanah MPSPK," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 10:06pm
d