Bola Sepak

Salah buru rekod Ronaldo

Oleh Agensi

London: Mohamed Salah meledak gol dalam perlawanan kelapan berturut-turut di tempat lawan di Liga Juara-Juara Eropah (UCL), pagi ini.

Pemain Mesir itu menjaringkan gol lewat Liverpool ketika membantu kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan untuk meneruskan aksi cemerlangnya bersama skuad The Reds.

Namun Salah masih jauh ketinggalan berbanding Cristiano Ronaldo, yang menjaringkan gol dalam 12 perlawanan berturut-turut di tempat lawan ketika beraksi buat Real Madrid pada kejohanan berkenaan.

Liverpool berada di kedudukan selesa untuk mara ke suku akhir UCL selepas mengatasi Inter di San Siro.

Roberto Firmino memecah kebuntuan pada minit ke-75 sebelum Salah mengesahkan kemenangan kelab Inggeris itu lapan minit kemudian.

Penyerang utama skuad kendalian Jurgen Klopp itu turut menemui sasaran di peringkat kumpulan dalam aksi di Porto, Atletico Madrid dan AC Milan.

Dalam kempen sebelumnya, Salah turut meledak gol dalam empat perlawanan terakhir Liverpool di tempat lawan menentang Real Madrid, RB Leipzig, Midtjylland dan Atalanta.

Salah kini perlu terus menjaringkan gol di setiap perlawanan di tempat lawan dalam kejohanan Eropah itu untuk menyamai rekod cemerlang Ronaldo.

Penyerang veteran Manchester United itu memulakan deretan jaringannya ketika bersama Real Madrid pada musim 2012-13, menjaringkan gol ketika menentang Borussia Dortmund, Galatasaray dan pasukannya sekarang, United.

Dia kemudian meneruskan ketajamannya di tempat lawan pada kempen berikutnya, menentang Juventus, Copenhagen, Bayern Munich, Schalke dan Galatasaray.

Pada musim 2014-15, Ronaldo berjaya menjaringkan gol ketika berdepan Ludogorets, Liverpool, Basel dan Schalke sebelum berakhir pada 14 April 2015 apabila dia gagal membolosi gawang Atletico Madrid.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 12:00pm
d