Bola Sepak

MFL lega Johor Bahru tuan rumah aksi ACL

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemilihan Johor Bahru sebagai tuan rumah bagi semua perlawanan Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 bukan sahaja menggembirakan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), malah turut melegakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyambut baik pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam berkata situasi itu akan melicinkan perjalanan kalendar pasukan Harimau Selatan termasuk tidak perlu mengubah jadual perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) sekiranya JDT perlu beraksi di luar negara.

"Kita dapat jimat tempoh kuarantin tujuh hari untuk JDT (sekiranya bermain perlawanan ACL di luar negara) yang dapat mengurangkan tekanan dalam kalendar perlawanan kita.

"Pada masa ini apabila JDT main ACL, liga tempatan tetap berjalan, kami tidak menghalang, sebaliknya JDT dapat bermain ikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama bersama rakan penaja baharu Liga M, Luno, sebuah syarikat aset digital di Malaysia, di Petaling Jaya, semalam.

Pemilihan Johor Bahru sebagai penganjur perlawanan berpusat bagi Kumpulan I pastinya memberi kelebihan kepada pemain beraksi di laman sendiri dalam melengkapkan kesemua enam perlawanan kumpulan.

JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut diundi dalam Kumpulan I bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).

Musim 2022 adalah penampilan keempat skuad kendalian Benjamin Mora itu dalam saingan ACL selepas kali pertama berentap dalam kejohanan berprestij Asia itu pada 2019.

Musim lepas JDT menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan G, di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara Pohang Steelers dari Korea Selatan.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 1:02pm
d