Bola Sepak

Persiapan terbaik hadapi Korea

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney menganggap undian Piala Asia B-23 yang menyaksikan Malaysia diletakkan bersama juara bertahan, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam sebagai cabaran sukar.

Anak buah Maloney yang kini berada di Kemboja untuk menyertai Piala AFF B-23 diundi dalam Kumpulan C ketika undian secara maya hari ini.

Jelas pengendali dari Australia itu, beliau menyifatkan undian itu adil dan ia bakal menguji keupayaan sebenar skuad kendaliannya.

"Saya menonton undian itu dan ia cukup menarik. Terus terang Korea Selatan yang juga juara bertahan saya kira ia pertemuan mencabar. Kehadiran dua pasukan lagi seperti Thailand dan Vietnam yang kami akan jumpa di sini dan pada Sukan Sea (di Vietnam Mei ini) nanti sebelum ke Piala Asia itu pastinya menarik.

"Bagi saya ia undian yang adil dan tiada perlawanan mudah dan kita akan buat persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan itu," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Pada undian itu juga, tuan rumah Uzbekistan diletakkan dalam Kumpulan A bersama Iran, Qatar dan Turkmenistan, sementara Australia, Jordan, Qatar dan Kuwait menghangatkan saingan di Kumpulan B.

Jaguh Asia, Jepun pula mengetuai Kumpulan D dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Tajikistan mengisi kumpulan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan pasukan untuk aksi pertama menentang Laos dalam kejuaraan AFF di Kemboja esok, beliau menjelaskan pemainnya sudah bersedia dan tidak sabar untuk menghadapi aksi itu.

Malah katanya, keputusan AFF meminta aksi antara Malaysia dan Laos dimainkan dua kali disambut baik oleh Maloney.

"Keputusan bermain dua perlawanan dengan Laos bagi saya itu keputusan yang baik, di mana kami datang ke sini untuk bermain bola sepak. Jadi ia akan menjadi peluang untuk pemain beraksi dan meraih pendedahan terbaik daripada hanya bermain satu perlawanan yang menjadi penentu kemaraan pasukan, dan saya sokong keputusan ini," katanya.

Sebelum ini, dua pasukan dari Kumpulan B iaitu Indonesia dan Myanmar terpaksa menarik diri akibat Covid-19 untuk hanya meninggalkan Malaysia dan Laos.

Begitupun, AFF membuat keputusan untuk kedua-dua pasukan bermain dua kali dan pasukan yang meraih mata tertinggi akan layak ke separuh akhir untuk berentap dengan dua lagi juara dari Kumpulan A dan C, selain satu lagi slot akan diberikan kepada naib juara terbaik.

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 10:11pm
d