Bola Sepak

Pilih pemain berkualiti dalam skuad negara - Irfan Bakti

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ketegasan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang mahu memilih pemain benar-benar berkualiti dalam skuad Harimau Malaya disambut baik jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Jurulatih Kuching City FC (KCFC) itu berkata, pemilihan pemain yang benar-benar bagus adalah penting dalam memacu kejayaan skuad negara yang sebelum ini dilihat kurang bermaya di pentas antarabangsa.

Pengendali paling senior dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berusia 71 tahun itu berkata, beliau tidak mahu lagi melihat pemain yang tidak berkualiti berada dalam senarai pemain skuad Harimau Malaya yang bukan sahaja gagal memenuhi sasaran tetapi menyekat pemain berpotensi untuk beraksi dalam skuad negara.

"Pandangan saya pemain yang bakal dipilih oleh Pan Gon nanti biarlah mereka yang betul-betul berkualiti, bukannya sekadar tangkap muat sahaja.

"Barisan jurulatih boleh menilai prestasi seseorang pemain dalam pentas Liga M ataupun menonton video mereka sebelum ini.

"Perkara ini penting bagi memastikan skuad kebangsaan benar-benar mantap dan mampu bersaing dengan negara lain, jadi buatlah pilihan yang terbaik dan jangan ada unsur-unsur lain yang boleh menjejaskan pasukan kebangsaan," kata Irfan Bakti ketika dihubungi.

Terdahulu jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menegaskan beliau akan melakukan pemilihan terbaik terhadap pemain yang bakal menggalas cabaran skuad Harimau Malaya bermula musim ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong berusia 53 tahun itu yang berhasrat membawa skuad Harimau Malaya beraksi dalam pentas Piala Dunia menjelaskan beliau tidak peduli mengenai status mana-mana pemain sama ada tempatan, naturalisasi mahupun berdarah campuran, sebaliknya mereka yang mampu menyumbang impak positif antara kriteria utama pemilihannya.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 3:57pm
d