Bola Sepak

Hamada tetap beri sokongan

Oleh Syazwan Msar

Cyberjaya: Walaupun sudah tidak berbakti lagi di Malaysia, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada tetap akan terus memberi sokongan kepada pembangunan akar umbi bola sepak di negara ini.

Hamada yang akan berpindah ke India dalam waktu terdekat ini berkata, beliau mengharungi begitu banyak pengalaman suka dan duka dalam usaha membantu membangunkan bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, penggantinya iaitu Hiroki Yanase akan meneruskan segala perancangannya yang sudah diatur sehingga 2023 sekali gus memberi jaminan Yakult akan Bersama membangunkan pemain akar umbi negara.

"Walaupun berpindah ke India, saya akan terus menyokong Hadi Fayyadh Abdul Razak kerana berharap dia akan mencapai kejayaan di Jepun dan walaupun selepas bersara, dia akan meneruskan industri bola sepak antara Jepun dan Malaysia.

"Yakult Malaysia akan terus menyumbang kepada bola sepak di Malaysia tetapi sama ada jika ia masih Kelantan United atau pertukaran kelab terpulang kepada pengganti saya, tidak pasti sama ada dia akan beralih ke Selangor atau kelab lain."

Hamada sudah 14 tahun menetap di Malaysia berkata, beliau akan berusaha membentuk jalinan kerjasama antara Malaysia dengan India demi pembangunan sukan terbabit pada masa akan datang.

"Saya akan terus menyokong bola sepak Malaysia walaupun sudah berpindah ke India.. Untuk melakukan perkara seperti di negara ini, saya perlu melihat keadaan dan budaya bola sepak India," katanya.

Mengikut rekod, Yakult terbabit dalam pembangunan akar umbi dan penajaan di negara ini sejak 2017 dengan matlamat melahirkan pemain muda berkualiti untuk bola sepak tanah air.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 7:33pm
d