Bola Sepak

UiTM FC masih lagi 'bernyawa'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk kekurangan dana, UiTM FC dilihat tidak akan gugur di medan perang Liga Perdana apabila disahkan akan terus bertarung pada saingan musim ini.

Hal ini kerana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan pasukan 'The Lion Troops' masih lagi mahu meneruskan perjuangan dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau berkata, UiTM FC ketika ini tidak 'berbunyi' mahu mengundur diri walaupun dilihat tidak melakukan persiapan rapi pada tempoh pramusim.

"Apa yang saya dengar, rundingan untuk penukaran pemilik tidak dapat berjalan jadi saya sentiasa berhubung dengan mereka. Cuma pada masa ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, UiTM FC sah akan bertanding.

"Setiap pasukan menerima borang pengesahan pertandingan yang perlu diisi dan ditandatangani sebelum dihantar kepada MFL. UiTM FC sudah pun melakukan perkara itu.

"Tiada persiapan pramusim sekalipun, tidak bermakna mereka akan menarik diri kerana dokumentasi hitam putih yang saya terima menyatakan mereka akan bertanding.

"Cuma kalau mereka tidak mendaftarkan pemain sehingga 22 Februari ini, kita akan anggap mereka menarik diri," katanya.

Terdahulu, timbul desas desus apabia UiTM FC bakal menjadi pasukan pertama dari Liga M yang menarik diri dalam saingan musim 2022.

Situasi itu bertiup kencang apabila pasukan bertaraf universiti itu kekurangan dana untuk meneruskan saingan pada musim ini sekali gus menyaksikan lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan 'angkat kaki' ke kelab lain.

Menurut sumber dalaman pasukan terbabit, UiTM FC boleh dikatakan 'patah kaki' untuk menyiapkan pasukan apabila dana yang diterima untuk musim ini dipotong lebih 50 peratus sekali gus kelab yang pernah beraksi di Liga Super itu tidak boleh membeli pemain baharu.

Beliau berkata, lebih malang lagi, kekurangan penaja menyebabkan segala perancangan pasukan terbantut dan pengurusan pasukan itu dilihat bergelut untuk menentukan hala tuju kelab berkenaan.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 8:17pm
d