Bola Sepak

Pan Gon mahu skuad Malaysia lebih gagah

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tidak lagi tergolong sebagai pasukan cap ayam apabila jurulatih baharu dari Korea Selatan, Kim Pan Gon bakal membawa sentuhan berbisa dengan memastikan barisan pemain lebih garang pada perlawanan akan datang.

Hal ini bermakna, jurulatih k-pop berkenaan akan membawa perubahan menyeluruh kepada skuad Harimau Malaya dengan memilih pemain yang lebih kental dan bukannya lemah mewakili negara.

Pan Gon berkata, fokusnya kini mahu skuad Harimau Malaya lebih 'bertaring' seterusnya mampu menerkam lawan setiap kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak boleh mengubah terlalu banyak tetapi kita akan perbetulkan perkara dari aspek taktikal. Kemudian saya akan cuba untuk menukar corak permainan supaya lebih agresif, lebih mencabar lawan dan kadang kadang mengambil risiko.

"Kita mahukan permainan sebegitu itu. Kita perlukan asas yang kuat dari segi kekuatan mental dan fizikal kerana kalau tidak, kita tidak akan dapat bermain (seperti itu).

"Jadi kita akan lihat apa yang kita ada dan bagaimana kita mahu bangunkan asas ini. Dengan pengalaman dan masa yang diberikan, saya boleh jadikan pasukan ini lebih baik," katanya.

Selain itu, bekas jurulatih Hong Kong itu berkata, beliau sanggup meninggalkan kemasyhuran bersama pasukan Korea Selatan demi membentuk skuad Harimau Malaya lebih mantap pada masa akan datang.

"Saya tinggalkan pasukan Korea Selatan yang akan bermain di Piala Dunia Qatar demi untuk membantu skuad Malaysia.

"Saya tidak kisah sangat mengenai pasukan lawan kerana pada saya, saya perlu membentuk pasukan saya terlebih dahulu dan lebih penting adalah bagaimana kita hendak bermain.

"Jadi tumpuan akan menjurus kepada membina kekuatan kita sendiri. Sudah tentu maklumat mengenai pasukan lawan pun penting tetapi kita tidak boleh bergantung sangat dengan pasukan lawan.

"Kita fokus pada apa yang patut kita buat. Saya mahu lebih mengenali mengenai Malaysia dan mungkin juga akan cuba makan makanan Malaysia serta mempelajari budaya di sini. Saya juga perlukan masa untuk mengenali pemain secara individu tetapi secara dasarnya, fokus saya lebih untuk memajukan lagi bola sepak di sini," katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2022 @ 8:44pm
d