Bola Sepak

Salah bangga jaringkan gol ke-150

Oleh AFP

Liverpool: Mohamed Salah berkata dia berbangga dapat menjaringkan gol ke-150 untuk Liverpool ketika penyerang Mesir itu membantu kelabnya meraih kemenangan 3-1 ke atas Norwich semalam.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp dikejutkan dengan gol Milot Rashica untuk meletakkan Norwich di depan pada separuh masa kedua di Anfield.

Bagaimanapun Liverpool menyamakan kedudukan menerusi Sadio Mane minit ke-64 sebelum di depan hasil gol Salah tiga minit kemudian.

Salah hanyalah pemain ke-10 yang mencapai 150 gol untuk Liverpool dan kedua terpantas selepas Roger Hunt.

Luis Diaz menjaringkan gol pertama untuk Liverpool pada penampilan keempatnya sejak berhijrah dari Porto pada Januari lalu bagi melengkapkan kemenangan Reds sekali gus terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Manchester City.

Salah menjaringkan gol ke-25 daripada 30 penampilan sepanjang musim ini termasuk 17 gol dalam 23 aksi liga manakala Reds sudah memenangi lapan perlawanan terakhir di semua pertandingan.

"Sangat hebat. Saya sentiasa bangga dapat menjaringkan gol untuk kelab dan paling penting adalah memenangi perlawanan sepertimana yang kami lakukan pada perlawanan ini.

"Apa yang perlu kami lakukan adalah fokus pada setiap perlawanan, itu perkara paling penting.

"Kami tahu apabila anda bersaing dengan City, mereka kebanyakan masa memenangi perlawanan, jadi apa yang boleh kami lakukan ialah fokus pada diri kami sendiri dan lihat apa yang berlaku di hujung musim," katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2022 @ 7:22am
d