Bola Sepak

Respons terbaik United

Oleh Agensi

Leeds, United Kingdom: Ralf Rangnick menyifatkan kemenangan sengit 4-2 ke atas Leeds United di Elland Road semalam adalah respons terbaik terhadap laporan berlaku ketidakharmonian dalam kalangan pemain.

Cristiano Ronaldo pula dikatakan bakal menggantikan Harry Maguire sebagai kapten United untuk baki saingan musim namun ia dinafikan Rangnick minggu ini.

Laporan itu tidak menjejaskan Maguire yang meletakkan United di depan minit ke-34 sebelum Bruno Fernandes melebarkan jaringan sejurus sebelum rehat.

Tetapi jaringan pantas Rodrigo dan Raphinha berjaya menyamakan kedudukan buat Leeds pada babak kedua. Namun Fred dan Anthony Elanga meledak dua gol lagi bagi memastikan kemenangan berturut-turut buat skuad Rangnick sekali gus melonjak ke kelompok empat teratas.

Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, pengendali sementara, Rangnick berkata: "Kami tahu ia kemenangan penting, sama seperti ke atas West Ham. Emosi sama di penghujungnya dengan gol kedua yang lewat.

"Tetapi hari ini ia lebih penting. Bukan sahaja menang tetapi cara kami bertindak balas selepas melepaskan dua gol dan ia jawapan terbaik daripada pasukan.

"Ia menunjukkan kematangan dan perpaduan. Kemenangan ini respons terbaik kepada laporan minggu lalu yang menyatakan terdapat salah faham dalam bilik persalinan kami.

"Kemenangan hari ini hanya boleh dicapai hasil kerjasama dan mentaliti berpasukan. Selain tiga mata, ia aspek paling penting bagi saya," kata Rangnick.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 9:10am
d