Bola Sepak

Tuchel waspada layan Lille

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berharap skuadnya lebih menyengat apabila menerima kunjungan Lille dalam aksi peringkat pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

The Blues mempamerkan aksi hambar dan terpaksa memerlukan jaringan kemenangan daripada Hakim Ziyech pada minit ke-89 di Crystal Palace pada Sabtu lalu yang menyaksikan Romelu Lukaku hanya melakukan tujuh sentuhan bola di atas padang.

Ketika Chelsea berdepan masalah konsistensi dalam saingan Liga Perdana musim ini dan tampak terkeluar daripada persaingan gelaran liga, mereka masih unggul di kejohanan piala.

Kejayaan di Abu Dhabi awal bulan ini memastikan trofi Piala Kelab Dunia memenuhi kabinet di Stamford Bridge selain layak ke final Piala Liga, aksi pusingan kelima Piala FA serta kempen Liga Juara-Juara Rabu ini menuntut komitmen tinggi anak buah Tuchel.

Tuchel berkata: "Saya fikir adalah penting kepada kami dalam saat ini lebih realisitik dan jangan harapkan jangkaan terlalu tinggi daripada kami.

"Kami juga tidak boleh tertipu dengan pandangan orang lain terhadap kami. Jika kami dianggap pasukan pilihan menentang Lille, kami tidak boleh leka malah ia boleh menyukarkan kami.

"Namun kami yakin dapat beraksi dengan baik di Stamford Bridge kerana kami pada kebiasaannya cemerlang dalam kejohanan kalah mati, aksi piala dan Liga Juara-Juara."

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 2:52pm
d