Bola Sepak

BRM FC kelab kecil berjiwa besar

Oleh Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Kelab bola sepak budak rumah murah, BRM FC dari Kuala Kangsar semakin mempamerkan taring mereka dalam Liga M3 apabila mencatat kemenangan kedua daripada dua perlawanan dilalui setakat ini.

Pada aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, yang menjadi gelanggang halaman sendiri mereka dalam Liga Bolasepak Amatur (AFL) musim ini, BRM FC membenam kelab dari Pasir Mas, Kijang Rangers FC 6-1 malam kelmarin.

"Di puncak kedudukan liga! BRM FC mendahului Kumpulan B dengan enam mata berjaya dikumpulkan selepas dua perlawanan. Masih terlalu awal tetapi ini satu permulaan yang baik," menurut BFM FC dalam catatan di laman Facebook.

Pada perlawanan itu, bekas penyerang kebangsaan Ahmad Fakri Saarani yang tampil dalam kesebelasan utama buat julung kali, turut menyumbang satu gol pada minit ke-43.

Gol lain dijaringkan Faiz Hanif pada minit ketiga dan kesembilan, Khairul Asyraf Sahizah (m-21), Fitri Omar (m-58) dan Iqmal Tumin (m-75) manakala Kijang Rangers membalas satu gol menerusi Amirul Zainudin.

Terdahulu, dalam satu temu ramah bersama portal HarimauMalaya.com.my, ketua pegawai eksekutif BRM FC, Ghafari Nasir berkata, kelab itu menyasarkan untuk beraksi dalam Piala AFC pada 2030.

Namun untuk melakukannya, mereka perlu terlebih dahulu layak beraksi di Liga Perdana dan Liga Super serta memenangi sama ada Piala FA atau Piala Malaysia sebelum boleh menggapai impian besar itu.

"Kelab kecil berjiwa besar," menurut komen seorang warganet dalam laman Facebook.

BRM FC, yang menampilkan beberapa bekas pemain Liga Super termasuk kapten Azmeer Yusoff, Fakri dan Fitri kini dilatih bekas ketua jurulatih Kuching FA, Ahmad Fairuz Yunus.

Disiarkan pada: February 21, 2022 @ 2:57pm
d