Bola Sepak

Napoli gagal rampas takhta Serie A

Oleh AFP

Milan: Napoli terlepas peluang merampas kedudukan pendahulu Serie A selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Cagliari awal pagi tadi.

Penyerang Nigeria, Victor Osimhen menyelamatkan Napoli menerusi tandukan ketika permainan berbaki tiga minit tetapi ia tidak mencukupi untuk pasukannya memintas AC Milan.

Skuad Luciano Spalletti boleh menyingkirkan Milan di persada liga dengan perbezaan gol jika menang di Sardinia tetapi sebaliknya ketinggalan dua mata di tangga ketiga.

Mereka bergelut mengekang asakan Cagliari yang mendahului menerusi Gaston Pereiro pada minit ke-58 dan kecewa dengan hanya satu mata selepas gagal memanfaatkan beberapa peluang sehinggalah jaringan penyamaan Osimhen.

"Ia perlawanan yang sukar bagi kami. Kami gagal menguasai perlawanan, jadi ia mungkin juga keputusan yang bagus. Kami tidak memberikan yang terbaik," kata Spalletti kepada DAZN.

Cagliari boleh keluar daripada zon penyingkiran jika menang tetapi sebaliknya kekal di tangga ke-18, berkongsi 22 mata dengan Venezia.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 7:26am
d