Bola Sepak

Klopp yakin Jota, Firmino beraksi di final

Oleh Agensi

London: Bos Liverpool, Jurgen Klopp mendakwa pihaknya akan melakukan segalanya untuk memastikan Diogo Jota dan Roberto Firmino bersedia untuk aksi final Piala Liga berdepan Chelsea, hujung minggu ini.

Jota didapati mengadu kesakitan selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika membantu kemenangan saingan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan minggu lalu, tatkala Klopp berkata Firmino dijangka direhatkan sementara kerana masalah otot.

Dua tonggak serangan pasukan The Reds itu terlepas aksi kemenangan 3-1 ke atas Norwich dan dijangka direhatkan bagi pertembungan menentang Leeds United pada awal pagi Khamis ini.

Namun Klopp enggan menyerah kalah malah menaruh keyakinan bahawa Jota dan Firmino dijangka bermain pada aksi di Stadium Wembley itu.

Bercakap kepada laman web rasmi Liverpool, Klopp berkata: "Ia terlalu awal [untuk membuat keputusan]. Saya tidak tahu jika ia akan menjadi keputusan yang lewat atau tidak, bagaimanapun ia terlalu awal.

"Saya melihat mereka hari ini. mereka kelihatan hebat - tetapi mereka sebenarnya sentiasa kelihatan hebat. Kami harus melihat bagaimana perkembangan keadaan mereka malah kami pastinya akan cuba segalanya."

Sementara itu, Chelsea mendapat suntikan moral dengan kehadiran semula Mason Mount dan Cesar Azpilicueta menjelang final sekalipun Reece James dan Ben Chilwell dijangka tersisih daripada skuad The Blues pada aksi itu.

Disiarkan pada: February 22, 2022 @ 10:37pm
d