Bola Sepak

Belum tunjuk belang

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kegagalan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Kemboja bukanlah ukuran sebenar peluang pasukan di saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun nanti.

Mungkin ramai yang terlupa atau buat-buat terlupa bahawa realitinya skuad yang di bawa ke Kejuaraan AFF di Kemboja itu bukanlah pasukan terbaik negara, di mana hampir separuh pemain tidak di bawa ke bumi Phnom Penh itu.

Nama-nama seperti penyerang KV Kortrijk di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin, tonggak tengah berpengaruh dari Selangor FC, Mukhairi Ajmal, bintang sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan penjaga gol tinggi lampai Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim tidak disenaraikan kali ini.

Malah, bekas tonggak Wolverhampton Wanderers di England yang kini bersama JDT, Wolves Shio Hong Wan serta Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah Usman antara pemain berpengalaman yang boleh menjadi sandaran Brad Maloney ke saingan Piala Asia nanti.

Begitu juga khidmat Wan Kuzri Wan Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat selain beberapa tonggak berpengalaman seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Hakimi Abdullah, Quentin Cheng, Ahmad Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar dan beberapa lagi boleh dipertaruhkan.

Namun disebabkan oleh Kejuaraan AFF yang berlangsung di luar kalendar Fifa menyebabkan kelab mempunyai hak imuniti tidak melepaskan pemain, maka Maloney sekadar membariskan skuad kedua di Kemboja itu bagi memberi pendedahan buat skuad muda negara sebelum memanggil pemain terbaik untuk di bawa ke Piala Asia nanti.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO), Syed Yazid Syed Omar, kegagalan di Kemboja itu sememangnya mengecewakan namun peminat harus berpijak di bumi nyata dengan melihat fakta sebenar.

Katanya, apa yang dipersembahkan oleh skuad muda negara bukanlah gambaran sebenar kekuatan pasukan kerana ia dibarisi 'skuad kedua' dengan ramai muka baharu diberi peluang.

"Kita tak boleh terus hukum tanpa melihat fakta sebenar. Apa yang berlaku di sana memang kecewa, saya pun saya kecewa juga.

"Tetapi kita kena faham, ini bukan skuad terbaik kita dan ia sudah dimaklumkan berkali-kali sebelum ke kejohanan itu. Bahkan, pasukan kita juga berdepan masalah Covid-19, di mana ramai pemain yang dijangkiti.

"Namun kita tetap berjuang sebab ingin memberi pendedahan buat pemain. Saya percaya, jika skuad terbaik yang di bawa kemungkinan keputusan di sana lebih positif.

"Jadi saya harap peminat jangan terlalu beremosi dan kita beri sokongan dan keyakinan kepada Maloney untuk sediakan pasukan terbaik di Piala Asia nanti," katanya kepada Arena Metro.

Di Uzbekistan nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Korea Selatan disamping dua lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam dan Thailand.

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 9:36pm
d