Bola Sepak

KUFC-Shonan Bellmare jalin kerjasama

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Jepun terus menunjukkan minat terhadap kerjasama sukan bola sepak bersama Kelantan United Football Club (KUFC) apabila menjalin kerjasama dengan Shonan Bellmare.

Kerjasama bersama pasukan bola sepak divisyen pertama Liga Jepun itu disahkan Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani, hari ini.

Anas berkata, kedua pasukan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan hubungan dua hala pasukan sebagai ahli Perikatan Bola Sepak Asia Bellmare (BAFA).

Katanya, kedua pasukan bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih untuk pasukan senior, pertukaran pemain dan menyokong kem latihan.

"Di peringkat akademi dan akar umbi pula, latihan akan diadakan dengan penyertaan pemain remaja, latihan jurulatih serta menyertai kejohanan remaja di Jepun.

"Selain, kita akan jalinkan usaha sama dalam bidang perniagaan dan perkongsian maklumat termasuk jualan penaja," katanya.

Beliau berkata, kata sepakat ini terhasil daripada perbincangan secara maya antara pengurusan tertinggi kedua-dua pihak.

Hiroshi Hamada yang juga Ahli Lembaga Penasihat KUFC menjadi watak penting dalam merealisasikan kerjasama ini.

Terdahulu KUFC menarik minat syarikat telekomunikasi Jepun di Malaysia, KDDI Malaysia Sdn Bhd dengan tajaan bernilai RM150,000 musim ini selain meneruskan kerjasama dengan syarikat priobiotik ,Yakult Sdn Bhd.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 10:26pm
d