Bola Sepak

Poland, Sweden dan Czech tolak Russia jadi tuan rumah

Oleh Reuters

Paris: Russia tidak sepatutnya dibenarkan untuk menjadi tuan rumah kelayakan Piala Dunia bulan depan selepas serangan ke atas Ukraine, jelas Persatuan Bola Sepak Poland, Sweden dan Republik Czech.

Russia sepatutnya menanti kunjungan Poland dalam separuh akhir playoff kelayakan Piala Dunia 24 Mac depan dan jika pasukan mereka menang, mereka akan bermain di laman sendiri berdepan sama ada Sweden atau Republik Czech pada 29 Mac.

"Persatuan Bolasepak Poland (PZPN), Sweden (SvFF) dan Republik Czech (FACR) menyatakan pendirian tegas bahawa perlawanan playoff... tidak sepatutnya dimainkan di Russia.

"Peningkatan ketenteraan yang kita perhatikan membawa akibat yang serius dan keselamatan yang jauh lebih rendah untuk pasukan bola sepak kebangsaan dan delegasi rasmi kita," kata mereka dalam satu kenyataan bersama di Twitter.

Mereka berkata, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) harus memberi reaksi segera dan memutuskan untuk melangsungkan perlawanan di gelanggang berkecuali.

Fifa berkata ia akan memantau keadaan dan menyampaikan maklumat terkini mengenai kelayakan dalam masa terdekat.

"Fifa mengecam penggunaan kekerasan oleh Russia di Ukraine dan sebarang jenis keganasan untuk menyelesaikan konflik. Keganasan tidak pernah menjadi penyelesaian dan Fifa menyeru semua pihak untuk memulihkan keamanan melalui dialog yang membina," katanya dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 10:50am
d