Bola Sepak

Rangnick akui Rashford tidak gembira

Oleh AFP

Manchester: Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick mengakui bahawa Marcus Rashford tidak gembira dengan prestasinya yang kurang memberangsangkan buat Manchester United sekali gus membuatkan pengendali sementara itu menggesa penyerangnya kembali kepada prestasi sebenar.

Rashford berdepan musim yang sangat sukar sejak kembali beraksi Oktober lalu selepas melalui pembedahan bahu.

Pemain antarabangsa England itu berada dalam kesebelasan utama ketika aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu ketika seri menentang Atletico Madrid di peringkat 16 akhir.

Bagaimanapun, bukan kali pertama buatnya musim ini, selepas dia gagal memberi impak dan dikeluarkan ketika berbaki 15 minit.

Pengganti Rashford, Anthony Elanga, menjaringkan gol penyamaan dan Rangnick tidak menyembunyikan pandangan bahawa bintangnya itu sedang bergelut menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Watford.

"Dia sebenarnya tidak cedera, dia tidak berdepan dengan masalah bahu lagi. Saya rasa kami sudah banyak kali membincangkan mengenai Marcus dalam beberapa minggu lalu dan saya juga sudah banyak kali bercakap dengannya secara peribadi.

"Sama seperti pemain lain, semua perkara diambil kira apabila berada di atas padang dan mereka harus beraksi sebaik mungkin.

"Saya yakin bahawa dia tidak gembira dengan prestasinya sekarang namun ia tidak membantu jika kami membincangkan perkara ini setiap minggu," kata Rangnick.

Pemain berusia 24 tahun itu setakat ini hanya menjaringkan lima gol dalam 22 penampilan musim ini.

Disiarkan pada: February 26, 2022 @ 10:10am
d